KUASA HEGEMONI DAN KESTABILAN EKONOMI POLITIK ANTARABANGSA

Mohd. Noor Mat Yazid

Abstract


Artikel ini membincangkan kepentingan Teori Kestabilan Hegemoni dalam memahami pembentukan kestabilan dan ketidakstabilan ekonomi politik antarabangsa. Mengikut teori ini, peranan yang dimainkan oleh sesebuah kuasa hegemoni sangat penting dalam membentuk kestabilan ekonomi dan politik antarabangsa. Tanpa kewujudan sebuah kuasa hegemoni yang betul-betul kuat dalam sistem antarabangsa, maka kestabilan antarabangsa sukar untuk diwujudkan. Data-data sekunder digunakan dalam kajian ini bagi menganalisis peranan yang dimainkan oleh kuasa hegemoni dan kestabilan antarabangsa. Kajian ini merumuskan bahawa peranan yang dimainkan oleh sesebuah kuasa hegemoni sangat penting dalam membentuk kestabilan dalam ekonomi politik antarabangsa. Ketidakstabilan politik antarabangsa dan kemelesetan ekonomi dalam dekad-dekad sebelum Perang Dunia Kedua 1939 meletus mempunyai hubungan rapat dengan ketiadaan sebuah kuasa hegemoni yang benar-benar kuat dan berupaya memainkan peranan yang berkesan dalam sistem antarabangsa. Great Britain telah berada dalam keadaan terlalu lemah (dalam tempoh 1919–1939) dan Amerika Syarikat pula enggan (atau belum benar-benar mampu) memainkan peranan sebagai kuasa hegemoni baharu menggantikan Great Britain. Sementara itu, Liga Bangsa-Bangsa tidak berfungsi dengan berkesan dalam tahun-tahun 1930-an kerana tidak wujud sebuah kuasa hegemoni yang benar-benar kuat. Keadaan ekonomi dan politik antarabangsa yang lebih baik dan stabil selepas tahun 1945 banyak dipengaruhi oleh peranan yang dimainkan oleh Amerika Syarikat sebagai kuasa hegemoni baharu. Sesebuah institusi antarabangsa tidak mungkin dapat berjalan dengan lancar dan berjaya mencapai matlamatnya tanpa sokongan kuat daripada sebuah kuasa hegemoni.

Keywords


Theori Kestabilan Hegemoni, kuasa hegemoni, Great Britain, Amerika Syarikat, institusi antarabangsa, kestabilan antarabangsa.

Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.