Program Usahatani Cendawan Dan Pemerkasaan Golongan Ibu Tunggal Di Terengganu

Authors

  • Nor Hayati Sa'at School of Social and Economic Development Universiti Malaysia Terengganu
  • Abdul Rahman Embong Institute of Malaysian and International Studies (IKMAS) Universiti Kebangsaan Malaysia

DOI:

https://doi.org/10.51200/jobsts.v1i1.142

Keywords:

Pembangunan komuniti, peranan organisasi bukan kerajaan, program usahawan tani, ibu tunggal, pemerkasaan

Abstract

Pembangunan komuniti umumnya menjadikan komunti sebagai tumpuan utama dan subjek pembangunan. Dalam konteks Malaysia, pembangunan komuniti lazimnya diberi penekanan kepada komuniti yang mendiami kawasan mundur, terpencil dan ketinggalan daripada arus perdana pembangunan negara. Kajian lepas menunjukkan kejayaan pembangunan individu dan komuniti bergantung kepada penerapan prinsip pemerkasaan atau pengupayaan para peserta agar melibatkan diri dan mengambil tanggungjawab ke atas kemajuan projek masing-masing. Di Malaysia, pihak kerajaan melaksanakan pembangunan komuniti melalui pelbagai organisasi atau institusi. Selain daripada itu, terdapat juga usaha di luar sektor kerajaan dan swasta yang menyumbang kepada program pembangunan sosioekonomi komuniti. Di Terengganu, Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) yang ditubuhkan pada 2005 adalah antara institusi yang proaktif melaksanakan program-program pembangunan sosioekonomi dengan tumpuan kepada komuniti miskin dan terpinggir. Artikel ini bertujuan membentangkan pengalaman salah satu daripada program tersebut, iaitu projek usahatani cendawan untuk ibu tunggal di Terengganu berdasarkan hasil penemuan projek penyelidikan “Pembangunan dan Pemerkasaan Komuniti: Penilaian ke atas Projek-projek Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM).†Artikel ini mempunyai tiga objektif, iaitu mengenal pasti konsep pemerkasaan yang dilaksanakan oleh agen pembangunan bukan-pemerintah, dalam kes ini YDSM; menilai keberkesanan program usahatani cendawan kepada peserta golongan ibu tunggal; dan ketiga, meneliti dan menilai proses pelaksanaan dan pemantauan program ini dalam usaha memperkasakan golongan ibu tunggal. Projek ini bersifat action research atau penyelidikan tindakan yang bertujuan melakukan penambahbaikan dari segi pelaksanaan program secara berterusan berdasarkan maklum balas yang diperoleh melalui kajian. Seramai 58 orang peserta ibu tunggal yang berada di tujuh daerah, iaitu Besut, Dungun, Hulu Terengganu, Kemaman, Kuala Terengganu, Marang dan Setiu telah dipilih sebagai responden. Hasil kajian mendapati projek tanaman cendawan berjaya membantu ibu tunggal memperkasakan diri melalui usaha pertanian dengan menjadikan pertanian sebagai suatu perniagaan yang dapat meningkatkan pendapatan dan taraf hidup mereka. Hasil kajian juga menunjukkan kebanyakan peserta menyatakan pandangan yang positif tentang projek tersebut. Mereka berpendapat bahawa projek tanaman cendawan ini telah memberikan pendedahan dan meningkatkan kemahiran peserta untuk menjadikan pertanian sebagai suatu perniagaan disamping dapat meningkatkan taraf hidup keluarga.

Downloads

Published

2023-02-08

How to Cite

Sa’at, N. H., & Embong, A. R. (2023). Program Usahatani Cendawan Dan Pemerkasaan Golongan Ibu Tunggal Di Terengganu. Journal of Borneo Social Transformation Studies, 1(1). https://doi.org/10.51200/jobsts.v1i1.142
Total Views: 799 | Total Downloads: 686