Pembelajaran Topik Dunia Melalui Deria Kita Menerusi Pendekatan Kecerdasan Pelbagai

  • Noor Baizura Bahrum
  • Mohd. Ali Samsudin
  • Noor Hasyimah Haniza

Abstract

Kajian ini bertujuan mengenal pasti pendekatan kecerdasan pelbagai terhadap pencapaian murid Tingkatan Dua dalam topik ‘Dunia Melalui Deria Kita’. Sampel kajian adalah seramai 60 orang murid Tingkatan Dua iaitu seramai 30 orang murid bagi kumpulan eksperimen iaitu murid yang mengikuti rancangan pelajaran yang terancang berdasarkan pendekatan kecerdasan pelbagai dan 30 orang murid lagi bagi kumpulan kawalan yang mengikuti pengajaran secara konvensional. Untuk mengenal pasti kesan jenis pendekatan pengajaran terhadap pencapaian murid, ujian pra bagi topik ‘Dunia Melalui Deria Kita’ ditadbir sebelum rawatan dijalankan. Manakala, ujian pasca bagi topik yang sama pula ditadbir selepas rawatan dijalankan. Analisis data dilakukan dengan menggunakan Analisis Kovarians (ANCOVA). Dapatan kajian mendapati bahawa pendekatan kecerdasan pelbagai berkesan dalam meningkatkan pencapaian murid dalam topik ‘Dunia Melalui Deria Kita’. Justeru, guru-guru disarankan untuk melaksanakan pengajaran Sains dengan mengambil kira kecerdasan murid yang pelbagai melalui pendekatan kecerdasan pelbagai.

Section
Articles