Aplikasi Konsep Kecerdasan Sosial Ibnu Khaldun dan Daniel Goleman dalam Kalangan Pentadbir Akademik di Sebuah Universiti Awam Malaysia
DOI:
https://doi.org/10.51200/jpks.v9i1.7034Keywords:
Kecerdasan sosial, keberkesanan pentadbiran akademik, pentadbir akademikAbstract
Kajian ini menilai tahap aplikasi kecerdasan sosial berdasarkan konsep ‘Asabiyyah Ibnu Khaldun dan model kecerdasan sosial Daniel Goleman dalam kalangan pentadbir akademik di sebuah universiti awam Malaysia. Seramai 128 responden terlibat dalam kajian kuantitatif ini menggunakan soal selidik berstandard. Analisis deskriptif menunjukkan tahap aplikasi kecerdasan sosial berada pada kategori tinggi dan sangat tinggi bagi kedua-dua model. Analisis korelasi mendapati wujud hubungan signifikan antara kecerdasan sosial Ibnu Khaldun (r = .567, p < .001) dan Goleman (r = .613, p < .001) terhadap keberkesanan pentadbiran akademik. Seterusnya, analisis regresi berganda menunjukkan kedua-dua model menyumbang 43.4% varians keberkesanan pentadbiran (R² = .434). Kajian ini membuktikan bahawa integrasi nilai kolektif Islam dan teori kecerdasan sosial moden mampu memperkukuh keberkesanan pentadbiran akademik secara lebih holistik, inklusif dan empatik. Dalam konteks pentadbiran akademik di institusi pengajian tinggi, kemampuan pemimpin untuk mengurus hubungan sosial, komunikasi, emosi serta dinamika organisasi adalah tunjang kepada keberkesanan kepimpinan. Kecerdasan sosial menjadi antara pembolehubah psikologi paling kritikal dalam menentukan kualiti pengurusan, budaya kerja dan keharmonian organisasi universiti. Dua model penting yang dijadikan asas kajian ini ialah konsep ‘Asabiyyah oleh Ibnu Khaldun dan model kecerdasan sosial oleh Daniel Goleman. Konsep ‘Asabiyyah menekankan kekuatan kolektif, solidariti, semangat berpasukan, kesetiaan dan perpaduan sebagai asas pembentukan masyarakat dan organisasi yang stabil.