HUBUNGAN SOKONGAN SOSIAL DAN KECERDASAN EMOSI: PERSPEKTIF PELAJAR PSIKOLOGI DI UMS

Authors

  • Nur Alya Maisarah Jayazino Universiti Malaysia Sabah
  • Norsimah Dasan Universiti Malaysia Sabah

Abstract

Kajian ini bertujuan untuk mengkaji hubungan antara sokongan sosial dan kecerdasan emosi dalam kalangan pelajar psikologi di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Pelajar psikologi diandaikan memiliki kestabilan emosi dan kehidupan sosial yang baik, serta kemampuan untuk menguruskan emosi dan sokongan sosial mereka dengan lebih cekap berikutan latar belakang akademik mereka dalam bidang psikologi. Kecerdasan emosi, yang merujuk kepada keupayaan individu untuk mengenali, memahami, dan mengurus emosi diri sendiri dan orang lain, terdiri daripada lima komponen utama: kesedaran diri, pengawalan kendiri, motivasi, empati, dan kemahiran sosial (Goleman). Sampel kajian ini melibatkan 207 pelajar psikologi di UMS, dan data dikumpulkan menggunakan satu set soal selidik yang mengandungi  Multidimensioal Perspective of Social Support Scale (MPSS) dan Instrumen Kecerdasan Emosi Goleman. Dapatan kajian menunjukkan bahawa kedua-dua sokongan sosial dan kecerdasan emosi berada pada tahap yang tinggi dalam kalangan sampel. Analisis korelasi pula mendapati bahawa sokongan sosial mempunyai hubungan yang signifikan dengan kecerdasan emosi, yang menunjukkan bahawa pelajar psikologi yang menerima sokongan sosial yang tinggi cenderung mempunyai kecerdasan emosi yang juga tinggi. Implikasi utama daripada dapatan ini adalah bahawa sokongan sosial memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan kecerdasan emosi pelajar, yang boleh memberi kesan positif kepada kesejahteraan psikologi mereka. dapatan ini juga memberi gambaran bahawa pelajar psikologi yang lebih berpengetahuan tentang teori-teori psikologi berkemungkinan dapat memanfaatkan sokongan sosial dengan lebih baik untuk memperbaiki kecerdasan emosi mereka. Oleh itu, penyediaan sokongan sosial yang lebih berstruktur dalam bentuk program mentor, kaunseling, dan aktiviti sosial dapat meningkatkan kecerdasan emosi pelajar, yang seterusnya memberi manfaat kepada pembangunan peribadi dan profesional mereka. Perbandingan antara bidang pengajian dan kaedah kualitatif adalah dicadangkan kepada kajian yang akan datang.

Downloads

Published

2024-12-31

How to Cite

Jayazino, N. A. M. ., & Dasan, N. . (2024). HUBUNGAN SOKONGAN SOSIAL DAN KECERDASAN EMOSI: PERSPEKTIF PELAJAR PSIKOLOGI DI UMS. Jurnal Psikologi Dan Kesihatan Sosial, 8(1), 225–233. Retrieved from https://jurcon.ums.edu.my/ojums/index.php/JPKS/article/view/5922
Total Views: 33 | Total Downloads: 43