About the Journal

TUJUAN DAN SKOP

Jurnal Kajian Islam dan Turath Antara Bidang (KITAB) yang mula ditubuhkan pada akhir tahun 2023 merupakan penerbitan dua kali setahun yang dikawal pengurusannya oleh Fakulti Pengajian Islam, Universiti Malaysia Sabah. Tujuannya adalah untuk menggalakkan penerbitan, perkongsian ilmu, menetapkan dan menyelaras standard penyelidikan Islam, selain mengumpul hasil-hasil kajian antara-bidang untuk dijadikan rujukan dan sumber pengetahuan.

 

Bidang yang diterbitkan oleh jurnal KITAB ialah;

(1) kajian mengenai agama Islam, dan

(2) kajian warisan pelbagai bidang.

Termasuk di bawah cakupan "kajian Islam" adalah kajian-kajian rentas agama seperti Perbandingan Agama dengan syarat berkaitan dengan agama Islam, sementara bidang yang duduk di bawah "kajian warisan (turath)" pula adalah semua hal mengenai kebudayaan umat Islam, sama ada yang bersifat materi atau bukan materi. Perkataan "antara bidang" digunakan untuk memahamkan pembaca tentang keluasan cakupan jurnal ini yang tidak terhad kepada hal ehwal agama Islam sahaja dalam konteks budaya, seperti sejarah, sastera, pemikiran dan konvensi sosial, kerana keakraban nilai-nilai agama dengan warisan dan kebudayaan. 

 

Berbagai bentuk hasil kajian atau aktiviti keilmuan layak diterbitkan, tanpa mengira novelti, impak ataupun saiz. Format artikel yang diundang untuk penerbitan jurnal KITAB termasuklah;

i) artikel penyelidikan asli,

ii) artikel penyelidikan operasi dan suntingan (tahqiq, transliterasi/transkripsi, terjemahan),

iii) kertas konsep,

iv) ulasan buku/kitab,

v) laporan kes, dan

vi) surat kepada pengarang. 

 

PROSES SEMAKAN SETARAF (PEER REVIEW)

Jurnal KITAB mengamal sistem Semakan Setaraf Perseorangan-Tanpa nama di samping menggalakkan para penyemak mencairkan ketanpanamaannya. Jurnal KITAB menggalakkan penulisan bersama tetapi mensyaratkan surat iringan dan bukti persetujuan semua penulis bersama jika diminta.

 

Jurnal KITAB sangat menggalakkan sumbangan penyemak-penyemak yang kompeten untuk menilai dan memberi komen membina terhadap manuskrip yang dihantar bagi mengekal dan meningkatkan kualiti penerbitan. Komen boleh dibuat pada soalan dan hipotesis kajian dengan maklumat dan pengetahuan latar belakang kajian yang mencukupi. Ia juga boleh dibuat pada reka bentuk kajian, eksperimen, proses pengumpulan data, analisis, statistik yang dibuat dengan cara yang betul dan boleh diulang dari pelbagai perspektif.

 

Laporan semakkan dan laporan editor akan disediakan kepada pengarang supaya manuskrip dapat diperbaiki berdasarkan komen-komen yang telah diberikan. Pihak editor jurnal KITAB memerlukan respon pengarang secara khusus dan tepat kepada semua komen di dalam manuskrip yang telah dipinda bersih. Respon perlu dibuat dalam tempoh masa yang telah ditetapkan. Setelah itu, editor akan membuat keputusan sama ada manuskrip tersebut akan diterima untuk penerbitan atau dikaji semula.

 

CARTA ALIRAN PENERBITAN

 

ETIKA PENERBITAN

Jurnal KITAB mematuhi panduan amalan terbaik Jawatankuasa Etika Penerbitan (COPE) dan Persatuan Antarabangsa Pengurus dan Editor Teknikal (ISMTE), justeru, jurnal KITAB berhak menarik balik mana-mana artikel yang sudah diterbitkan sekiranya didapati bermasalah atau palsu.