Apakah yang Dilakukan oleh Pekerja Sosial Dadah?
DOI:
https://doi.org/10.51200/jpks.v9i1.7060Keywords:
penyelewengan sosial, penagihan dadah, kerja sosial di institusi pemulihanAbstract
Kertas kerja ini merupakan satu kertas konsep yang berkongsi pengalaman penulis sebagai Ahli Lembaga Hakim Pelawat di Sekolah Henry Gurney Keningau dan Penjara Kota Kinabalu serta pengalaman mengajar kursus PS31803 Kerja Sosial di Institusi Pemulihan dan Pengawalan. Kursus PS31803 merupakan kursus pengkhususan yang ditawarkan kepada pelajar tahun akhir Program Kerja Sosial di Universiti Malaysia Sabah. Penghuni di Sekolah Henry Gurney Keningau terdiri daripada kanak-kanak di bawah usia 18 tahun yang terlibat dalam pelbagai kesalahan sosial seperti mencuri, merompak, lari dari rumah, rogol serta penglibatan dalam kes dadah. Kanak-kanak ini diletakkan di bawah pengawasan pegawai akhlak Jabatan Kebajikan Masyarakat yang dilantik. Kanak-kanak warganegara yang didapati bersalah dan tidak selamat untuk terus tinggal bersama keluarga akan diperintahkan oleh Mahkamah Kanak-Kanak untuk ditempatkan di Sekolah Henry Gurney, manakala kanak-kanak bukan warganegara pula akan ditempatkan di Penjara Muda, Penjara Kota Kinabalu. Sepanjang tempoh penahanan, kanak-kanak ini akan menjalani proses pemulihan dadah di samping hukuman yang dikenakan. Kertas kerja ini membincangkan pengambilan dadah sebagai tingkah laku devian, sikap sosial terhadap dadah, makna dan proses penagihan serta peranan pekerja sosial dadah atau pekerja sosial di institusi pemulihan dan pengawalan.