KOMPETENSI PENSYARAH PENDIDIKAN ISLAM (PPI) DALAM PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DI POLITEKNIK MALAYSIA
DOI:
https://doi.org/10.51200/kitab.v2i1.6792Keywords:
Kompetensi Pensyarah Pendidikan Islam, Pelaksanaan kurikulum, Pengetahuan isi kandungan, Amalan pedagogi, Amalan pentaksiranAbstract
Kompetensi seorang pensyarah menjadi nilaian dalam pendidikan apabila wujudnya seorang pendidik yang kompeten dan komited dalam profesionnya. Pensyarah yang kompeten akan memastikan kejayaan pelaksanaan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) berkesan khususnya di politeknik dalam usaha melahirkan modal insan negara . Justeru, kajian ini bertujuan mengkaji amalan pensyarah pendidikan Islam berkesan dari aspek pengetahuan (penguasaan) isi kandungan, amalan pedagogi dan amalan pentaksiran di politeknik Semenanjung Malaysia. Sampel yang terlibat dalam kajian ini adalah seramai 102 orang PPI yang mengajar kursus Sains Teknologi dan Kejuruteraan dalam Islam (STKI) dari 30 politeknik di semenanjung Malaysia. Satu set soal selidik telah digunakan sebagai instrumen untuk mengumpul data kajian. Data yang diperoleh dianalisis menggunakan perisian Statistical Package For Social Science (SPSS) versi 23.0. Hasil kajian menunjukkan bahawa tahap pengetahuan (penguasaan) isi kandungan PPI terhadap kursus STK dalam Islam adalah tinggi dengan skor min keseluruhan 4.33. Dapatan kajian juga menunjukkan bahawa tahap amalan pedagogi PPI adalah tinggi dalam proses PdP dengan skor min keseluruhan 3.81. Manakala dapatan kajian juga menunjukkan bahawa PPI berada pada tahap amalan pentaksiran yang tinggi dengan skor min keseluruhan 4.01. Berdasarkan dapatan kajian ini, dapatlah disimpulkan bahawa, pengetahuan (penguasaan) isi kandungan, amalan pedagogi dan amalan pentaksiran PPI merupakan elemen penting keberkesanan pelaksanaan kursus STK dalam Islam di politeknik Malaysia. Komitmen jitu yang diberikan oleh PPI ini seiring dengan keperluan peningkatan profesionalisme pensyarah dalam menghasilkan pendidikan yang berkualiti di politeknik.
