PARAMETER SYARIAH BERHUBUNG PENGHASILAN VIDEO TULAR SEBAGAI STRATEGI PEMASARAN JUALAN ATAS TALIAN
DOI:
https://doi.org/10.51200/kitab.v2i1.6898Keywords:
Parameter Syariah, Video tular, Pemasaran Atas Talian, E-Dagang, PengiklananAbstract
Industri pengiklanan di negara ini telah berkembang dengan pesat sejajar dengan perkembangan industri perniagaan menggunakan platform e-dagang. Di samping penggunaan media arus perdana seperti surat khabar, televisyen dan radio, penggunaan medium iklan baru seperti internet dan telefon bimbit telah mendedahkan pengguna kepada pelbagai iklan sama ada dari dalam mahupun luar negara. Terdapat banyak kaedah pengiklanan baru telah diinovasikan termasuklah penggunaan video tular. Dengan tujuan untuk memperkenalkan dan memasarkan sesuatu produk di samping untuk menarik perhatian dan mempengaruhi pengguna membuat keputusan dalam pembelian para pencipta kandungan dilihat cenderung untuk bersikap lebih terbuka dalam menghasilkan kandungan yang dapat menarik perhatian pelanggan dan mendapat perkongsian yang banyak. Komen dan perkongsian pengguna yang bertali arus terhadap kandungan tersebut telah menyebabkan ia tular dan memberikan promosi percuma terhadap produk. Hal ini secara tidak langsung memungkinkan penyebaran kandungan yang tidak patuh syariah terus berleluasa di media maya. Justeru, kajian ini sangat signifikan untuk membina suatu garis panduan patuh syariah dalam penghasilan video tular yang boleh dijadikan panduan kepada para usahawan dalam mempromosi produk jualan mereka. Kajian adalah kajian yang berbentuk kualitatif dengan menggunakan analisis diskriptif berdasarkan sorotan literatur daripada pelbagai artikel yang telah melalui proses semakan untuk tujuan penerbitan. Hasil kajian ini mencadangkan suatu parameter syariah perlu dijadikan kayu ukur di dalam penghasilan video tular di Malaysia agar penghasilannya lebih beretika dan selari dengan syarak.
