ISLAM RAHMATAN LIL ‘ALAMIN SEBAGAI KERANGKA KONSEPTUAL DALAM PEMBANGUNAN MASYARAKAT MADANI
DOI:
https://doi.org/10.51200/kitab.v2i2.7171Keywords:
Rahmatan li ‘Alamin, Maqasid Syariah, Keadilan, Toleransi, Masyarakat MadaniAbstract
Artikel ini menganalisis konsep Islam Rahmatan lil ‘Alamin sebagai suatu kerangka konseptual dalam pembangunan masyarakat madani yang berteraskan kesejahteraan, keterangkuman dan nilai peradaban. Prinsip rahmat yang menjadi inti risalah Nabi Muhammad SAW dihuraikan sebagai asas normatif yang merangkumi dimensi akidah, syariah, akhlak, kemanusiaan dan hubungan sosial, sekali gus menafikan tanggapan yang mengaitkan Islam dengan ekstremisme atau kekerasan. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif berasaskan analisis dokumen terhadap sumber primer, iaitu al-Quran dan al-Hadis, serta karya sarjana klasik dan kontemporari yang berkaitan. Hasil analisis menunjukkan bahawa konsep rahmah menekankan nilai keadilan, keseimbangan, toleransi, penghormatan terhadap hak asasi manusia dan kesejahteraan sejagat tanpa mengira perbezaan agama, etnik dan budaya. Nilai-nilai ini membentuk asas penting bagi pembinaan masyarakat madani, khususnya dalam konteks negara majmuk seperti Malaysia, melalui penerapan prinsip wasatiyyah, pengukuhan dialog antara agama dan usaha memperkasa kesejahteraan sosial. Kajian ini merumuskan bahawa Rahmatan lil ‘Alamin bukan sekadar wacana teologi, tetapi suatu kerangka pembangunan yang komprehensif yang boleh membimbing perumusan dasar awam, sistem pendidikan, tadbir urus pentadbiran serta hubungan antara komuniti. Oleh itu, penghayatan terhadap konsep ini wajar diperkukuh melalui pendidikan nilai, pengukuhan institusi keagamaan dan pendekatan dakwah yang berteraskan hikmah, agar Islam difahami dan dihayati sebagai agama yang membawa keamanan, belas kasih dan kemajuan kepada seluruh manusia.
