EFIKASI KENDIRI GURU SEBAGAI TERAS PEDAGOGI TERBEZA BERASASKAN ELEMEN PROSES DALAM PENGAJARAN TILAWAH AL-QURAN: SEBUAH SINTESIS KONSEPTUAL

Authors

  • Nurul Hamimi Awang Japilan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim
  • Jahidih Saili Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah, Kota Kinabalu

DOI:

https://doi.org/10.51200/kitab.v2i2.7245

Keywords:

Efikasi Kendiri Guru, Pedagogi Terbeza, Amalan PdP, Tilawah al-Quran, Pendidikan Islam

Abstract

Pengajaran Tilawah al-Quran dilaksanakan dalam bilik darjah yang mempunyai kepelbagaian tahap bacaan dan penguasaan tajwid, namun amalan pengajaran masih cenderung bersifat seragam dan berpusatkan guru. Keadaan ini mengehadkan keberkesanan bimbingan, pembetulan dan maklum balas semasa proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Literatur sedia ada menunjukkan bahawa pedagogi terbeza sering menumpukan penyesuaian kandungan dan hasil pembelajaran, sedangkan elemen proses PdP masih kurang dihuraikan secara konseptual. Selain itu, faktor dalaman guru yang mempengaruhi keupayaan menyesuaikan proses pengajaran turut belum diberi perhatian yang mencukupi. Oleh itu, artikel ini bertujuan membina satu sintesis konseptual yang meletakkan efikasi kendiri guru sebagai teras kepada pelaksanaan pedagogi terbeza berasaskan elemen proses dalam pengajaran Tilawah al-Quran. Pendekatan analisis konseptual dan sintesis teori digunakan terhadap literatur terpilih yang berkaitan dengan pedagogi terbeza, amalan proses PdP serta teori efikasi kendiri berasaskan pemikiran Bandura (1997) dan al-Ghazali (1988). Sintesis konseptual ini menghasilkan satu Model Konseptual Integratif yang meletakkan efikasi kendiri guru sebagai pemboleh ubah tidak bersandar dalam menjelaskan variasi amalan proses PdP, khususnya dari segi penyesuaian tempo pengajaran, bentuk interaksi dan strategi pembelajaran. Model yang dicadangkan menawarkan peluasan konseptual terhadap kerangka pedagogi terbeza sedia ada dengan memusatkan elemen proses sebagai manifestasi langsung efikasi kendiri guru. Pada peringkat amalan, artikel ini menekankan keperluan pembangunan profesional guru yang memfokuskan pengukuhan efikasi kendiri bagi menyokong pengajaran Tilawah al-Quran yang lebih responsif dan bermakna.

Downloads

Published

2025-12-31
Total Views: 16 | Total Downloads: 9