Membudaya Kembali Kajian Radio: Perspektif Era Revolusi Industri 4.0

Authors

  • Intan Soliha Ibrahim Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah

Abstract

Teori elektromagnetik yang diformula oleh Maxwell telah menyumbang kepada pembentukan industri radio. Radio kemudiannya menjadi sebuah medium yang popular dan kajian terhadap radio menjadi fenomena apabila berperanan sebagai sebuah medium yang berupaya mempengaruhi tingkah laku dan pemikiran masyarakat. Radio mempengaruhi masyarakat menerusi kandungan yang disusun dalam bentuk segmen. Drama radio terbitan Orson Welles yang berjudul The War of the Worlds yang disiarkan pada 30 Oktober 1938 telah menjadi pencetus kepada pembangunan ilmu komunikasi. Setelah globalisasi dan televisyen diperkenal, kajian terhadap radio mula berkurangan seolah-olah kajian radio telah mencapai tahap tepu yang tidak boleh berkembang. Penciptaan teknologi digital telah merubah permainan industri apabila berlakunya kebangkitan sarjana yang mengkaji radio dalam ruang lingkup digital. Sarjana lantang berhujah mengenai keperluan teori radio dalam era revolusi industri 4.0 atas justifikasi kekurangan kajian dan teori mengenai radio. Justeru itu, halatuju perbincangan makalah ini adalah untuk membincangkan perkembangan industri radio berdasarkan pemikiran ahli fikir dan sarjana terdahulu dan terkini. Makalah ini dibahagikan kepada tiga bahagian. Bahagian pertama membincangkan tentang idea dan pemikiran sarjana (1930-1950) terhadap radio. Bahagian kedua berhujah mengenai teori radio dan pemikiran sarjana dari tahun 1960 sehingga 1980. Bahagian ketiga membincang mengenai halatuju teori penyiaran radio dalam era digital. Makalah ini ialah usaha untuk menghidupkan dan membudaya kajian mengenai radio yang telah lama mengalami penurunan daripada segi angka.

Published

2020-06-22