IMPAK PANDEMIK COVID-19 TERHADAP KESELAMATAN MANUSIA: GOLONGAN TANPA DOKUMEN DI MALAYSIA

Authors

  • Scholastica Esther Sibin Guntilie

Keywords:

Malaysia, COVID-19, golongan tanpa dokumen, keselamatan insan, pandemik

Abstract

Wabak penyakit berjangkit COVID-19 bukanlah merupakan satu isu yang asing lagi bagi masyarakat dunia sejak ia diisytiharkan sebagai satu pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2020. Penyakit berjangkit yang berpunca daripada virus yang dikenali sebagai Koronavirus Sindrom Pernafasan Akut Teruk 2 atau lebih dikenali sebagai Severe Acute Respiratory Syndrome Coronavirus 2 (SARS-COV-2) sememangnya telah memberi impak yang besar kepada warga dunia sehingga mengubah norma-norma hidup yang biasa dijalani sebelum ini. Meskipun begitu, golongan tanpa dokumen mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk terkesan dengan isu pandemik ini kerana status mereka sebagai individu yang tidak mempunyai dokumen atau memegang dokumen yang tidak sah di sisi undang-undang di negara yang mereka menetap. Hal ini mengakibatkan golongan tanpa dokumen ini, khususnya di Malaysia, tidak mempunyai peluang dan sumber yang mencukupi untuk melindungi keselamatan insan mereka. Justeru, objektif kertas ini adalah untuk mengenalpasti cabaran yang dihadapi oleh golongan tanpa dokumen semasa musim pandemik COVID-19 di Malaysia selain menganalisis impak pandemik COVID-19 ini terhadap keselamatan insan golongan tanpa dokumen di negara ini. Data yang diperolehi adalah berdasarkan sumber sekunder iaitu seperti artikel dalam jurnal, bab dalam buku, laporan rasmi kerajaan serta keratan surat khabar. Hasil kajian menunjukkan bahawa golongan tanpa dokumen ini lebih rentan kerana status mereka sebagai individu yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah menyebabkan ancaman terhadap keselamatan insan mereka pada waktu pandemik adalah lebih berat berbanding mereka yang berstatus warganegara atau mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Author Biography

Scholastica Esther Sibin Guntilie

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,
Jalan UMS, Universiti Malaysia Sabah,
88400 Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.

Published

2023-06-30
Total Views: 1078 | Total Downloads: 1039