LAUT CHINA SELATAN, LAUT SULU DAN LAUT CELEBES SEBAGAI PEMANGKIN MALAYSIA SEBAGAI NEGARA MARITIM

THE SOUTH CHINA SEA, THE SULU SEA, AND THE CELEBES SEA AS CATALYSTS FOR MALAYSIA AS A MARITIME NATION

Authors

  • Ismail Ali Pusat Penyelidikan Ekonomi Biru dan Keselamatan Maritim, Universiti Malaysia Sabah, Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu, Sabah
  • Kasim Hj. Mansur Fakulti Perniagaan, Ekonomi & Perakaunan, Universiti Malaysia Sabah, Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu, Sabah

Keywords:

Laut Sulu, Laut Celebes, Laut China Selatan, Geopolitik, Geoekonomi, Geostrategi

Abstract

Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Celebes adalah dua kawasan perairan penting yang menghubungkan Malaysia dengan negara-negara jiran di Asia Tenggara dan Pasifik. Dalam konteks geo-politik, geo-ekonomi dan geo-strategi Malaysia, kedua-dua laut ini mempunyai peranan yang signifikan dalam mempengaruhi dasar luar negara, keselamatan maritim, serta hubungan serantau dan antarabangsa. Artikel ini bertujuan untuk mengkaji kepentingan Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Celebes kepada Malaysia, dengan menumpukan pada aspek-aspek yang berkaitan dengan persempadanan wilayah, ancaman keselamatan maritim, serta pengurusan sumber daya alam. Persoalan utama yang ditangani adalah bagaimana kedua-dua kawasan ini mempengaruhi kestabilan politik dan ekonomi Malaysia serta cabaran yang dihadapi negara dalam memastikan kelangsungan keselamatan maritim dan kestabilan serantau.Dalam kajian ini, pendekatan kualitatif digunakan dengan menganalisis pelbagai sumber data yang merangkumi dokumen rasmi, laporan antarabangsa, serta kajian-kajian terdahulu mengenai geopolitik Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Celebes. Metodologi ini membolehkan pemahaman yang lebih mendalam tentang cabaran dan peluang yang dihadapi Malaysia dalam menavigasi isu-isu maritim. Artikel ini mengaplikasikan teori geopolitik, geo-ekonomi dan geostrategi dalam kerangka pemikiran yang melihat kawasan laut ini sebagai pusat kepada pelbagai kepentingan negara besar serta aktor serantau yang terlibat dalam perebutan sumber daya alam dan kawalan laluan perdagangan global. Perbincangan dalam artikel ini menyorot beberapa aspek utama, termasuk isu-isu persempadanan wilayah antara Malaysia dan negara-negara jiran, ancaman keselamatan yang timbul daripada perlanunan dan jenayah rentas sempadan, serta peranan Malaysia dalam memastikan kelestarian sumber laut yang berharga. Dapatan kajian menunjukkan bahawa, walaupun Malaysia mempunyai kepentingan strategik yang besar dalam kedua-dua laut ini, masih banyak cabaran yang perlu diatasi melalui diplomasi serantau, penguatan kerjasama keselamatan maritim, serta peningkatan penguatkuasaan undang-undang.

Published

2025-12-19
Total Views: 13 | Total Downloads: 12