KARTOGRAFI SEBAGAI WACANA SEJARAH: ANALISIS KOLEKSI PETA LAUT CHINA SELATAN DALAM MUZIUM-MUZIUM VIETNAM
CARTOGRAPHY AS HISTORICAL DISCOURSE: AN ANALYSIS OF SOUTH CHINA SEA MAP COLLECTIONS IN VIETNAMESE MUSEUMS
Keywords:
Vietnam, Muzium, Laut China Selatan, Peta Tradisional, SejarahAbstract
Kajian ini menjelaskan kartografi sebagai wacana sejarah dalam membentuk naratif kedaulatan Vietnam terhadap Kepulauan Paracel (Hoàng Sa) dan Kepulauan Spratly (Trường Sa) melalui koleksi peta yang dipamerkan di muzium maritim Vietnam. Antara objektif yang ingin dicapai melalui makalah ini adalah, menjelaskan tentang sejarah dan koleksi peta tradisional sebagai salah satu asas tuntutan Vietnam ke atas sebahagian fitur-fitur maritim di Laut China Selatan (LCS) melalui institusi permuziuman. Berdasarkan pendekatan kualitatif melalui kajian lapangan di Rumah Pameran (Muzium) Hoàng Sa (Da Nang), Galeri Trường Sa di Memorial Johnson South Reef (Cam Lam), dan Muzium Oceanografi (Nha Trang), kajian ini menilai fungsi peta tradisional, kolonial dan moden sebagai instrumen legitimasi sejarah dan mekanisme kesedaran maritim secara tidak langsung dalam konteks pertikaian di LCS. Dapatan menunjukkan bahawa, peta-peta Dinasti Nguyen, peta kolonial Perancis, peta Belanda abad ke-16, serta peta pentadbiran China digunakan secara tersusun untuk membina naratif perbandingan visual yang menonjolkan konsistensi sejarah Vietnam ke atas LCS. Melalui pameran yang menggabungkan sumber kartografi tempatan dan antarabangsa, muzium-muzium ini bukan sahaja memperkukuh memori kolektif dan patriotisme, tetapi juga berperanan sebagai medium wacana geopolitik yang menyumbang kepada pembentukan persepsi awam mengenai hak kedaulatan Vietnam. Kajian ini mencadangkan bahawa koleksi peta dalam institusi permuziuman perlu dilihat bukan sekadar sebagai artifak sejarah, tetapi sebagai alat strategik negara dalam mengartikulasikan identiti, legitimasi wilayah dan daya tahan diplomatik dalam landskap geopolitik LCS yang semakin kompleks.
