KERANGKA SOSIO-PERUNDANGAN UNTUK PELAUT MALAYSIA DALAM MENDEPANI PENYAHKARBONAN 2026 DAN MANDAT BAHAN API ALTERNATIF: SUATU ULASAN SKOP DENGAN ANALISIS TEMATIK REFLEKSIF
Keywords:
Sosio-perundangan, Pelaut, Malaysia, Penyahkarbonan, bahan apiAbstract
Peralihan industri perkapalan global kepada bahan api alternatif bagi memenuhi sasaran penyahkarbonan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (International Maritime Organisation - IMO) menjelang 2026 mencetuskan keperluan mendesak untuk kerangka sosio-perundangan yang melindungi pelaut. Malaysia, sebagai negara maritim yang sedang membangunkan Pelan Induk Maritim Malaysia 2026–2040 dan Pelan Hala Tuju Pengawalseliaan Green Bunkering, berada pada persimpangan kritikal. Namun, ketiadaan sintesis bukti yang sistematik mengenai dimensi sosio-perundangan peralihan ini mewajarkan satu ulasan skop. Artikel ini bertujuan memetakan dan mensintesis bukti sedia ada mengenai kerangka sosio-perundangan yang mengawal pelaut Malaysia dalam konteks mandat penyahkarbonan 2026 dan peralihan bahan api alternatif, menggunakan Analisis Tematik Refleksif (RTA) bertujuan membina pemahaman konseptual yang baharu. Data diperolehi dari sumber dalam bahasa Inggeris dan Melayu dari tahun 2018 hingga April 2026 yang membincangkan aspek perundangan, sosial, latihan, dan keselamatan pelaut dalam peralihan bahan api maritim. Pangkalan data Scopus, Web of Science, dan Google Scholar; laman web rasmi IMO, Kementerian Pengangkutan Malaysia, dan agensi maritim serantau; grey literature seperti laporan PPE (Personal Protective Equipment report) dan kenyataan dasar. Data diekstrak secara duplikasi menggunakan borang piawai dan disintesis melalui enam fasa RTA (Braun & Clarke, 2006, 2020, 2021). Daripada 847 sumber dikenal pasti, 36 sumber dimasukkan dalam sintesis akhir. Empat tema dibangunkan: (1) Ketegangan Antara Mandat Global dan Realiti Tempatan; (2) Kerentanan Struktural Pelaut dalam Ekosistem Bahan Api Baharu; (3) Transformasi Rejim Kecekapan dan Pensijilan; dan (4) Keadilan Transisi sebagai Imperatif Sosio-Perundangan. Kerangka sosio-perundangan Malaysia ketika ini bersifat fragmentaris (fragmented), reaktif, dan terlalu berorientasikan pematuhan teknikal sehingga mengabaikan dimensi keadilan distributif dan prosedural. Sehubungan itu, suatu kontrak sosial maritim yang baharu adalah diperlukan dengan segera.
