MENGKONSEPKAN KEKUATAN PENGARUH SUNGAI DALAM SEJARAH KERAJAAN KUTAI DI BORNEO: SATU TINJAUAN UMUM
Keywords:
Sungai Mahakam, Kerajaan Kutai, sejarah maritim, kekuatan pengaruh sungai, BorneoAbstract
Sungai merupakan salah satu unsur geografi yang memainkan peranan penting dalam perkembangan tamadun dan pembentukan kerajaan sejak zaman awal. Di Borneo, kebanyakan kerajaan maritim berkembang di muara sungai utama yang berfungsi sebagai pusat penempatan, perdagangan, komunikasi dan pentadbiran. Walau bagaimanapun, kajian terdahulu lebih banyak menumpukan kepada aspek perdagangan maritim, pelabuhan dan pelayaran, manakala pengaruh sungai sebagai faktor utama dalam pembentukan kerajaan masih kurang diberikan perhatian secara khusus dan konseptual. Sehubungan itu, artikel ini bertujuan menganalisis peranan Sungai Mahakam dalam pembentukan Kerajaan Kutai Martapura dan Kesultanan Kutai Kertanegara, di samping membina suatu kerangka konseptual baharu yang dikenali sebagai Teori Kekuatan Sungai (River Power Theory). Kajian ini menggunakan pendekatan penyelidikan sejarah berasaskan kaedah kualitatif melalui analisis sumber primer seperti manuskrip, catatan awal dan dokumen sejarah, disokong oleh kajian literatur serta temu bual dengan informan terpilih. Analisis kajian memfokuskan kepada empat aspek utama, iaitu kedudukan geografi dan ciri fizikal Sungai Mahakam, pola penempatan penduduk, aktiviti ekonomi masyarakat, serta dasar pemerintahan kerajaan Kutai dalam menguasai perdagangan dan pelabuhan di muara sungai. Dapatan kajian menunjukkan bahawa kekuatan sesebuah kerajaan bukan sahaja dipengaruhi oleh faktor politik dan perdagangan, malah sangat bergantung pada kelebihan sistem sungai yang menyediakan jaringan pengangkutan, sumber ekonomi, ruang penempatan, komunikasi dan mekanisme kawalan wilayah. Berdasarkan dapatan tersebut, artikel ini mengemukakan teori kekuatan sungai yang menjelaskan bahawa keupayaan sesebuah sungai, khususnya dari segi panjang aliran, bilangan anak sungai, kebolehlayaran dan penguasaan sumber di lembangan sungai, mempunyai hubungan langsung dengan pembentukkan serta pengukuhan kuasa politik kerajaan di muara sungai. Kajian ini menyumbang kepada pengembangan historiografi maritim dengan mengangkat sungai sebagai komponen asas dalam memahami proses pembentukan kerajaan awal di Borneo dan Asia Tenggara.
